KUALA LUMPUR, 1 Januari -Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keputusan rejim Zionis Israel yang melarang serta menggantung operasi sejumlah besar organisasi bantuan kemanusiaan antarabangsa di Gaza.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan hanya akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedia kritikal di wilayah berkenaan.
Menurut kenyataan itu, halangan terhadap penyampaian bantuan kemanusiaan bukan sahaja menjejaskan prinsip keneutralan dan kebebasan operasi organisasi kemanusiaan, malah disifatkan sebagai satu bentuk hukuman kolektif terhadap orang awam.
"Israel, sebagai kuasa pendudukan, mempunyai tanggungjawab di bawah Konvensyen Geneva Keempat untuk memastikan akses kemanusiaan ke Gaza dilaksanakan tanpa sebarang halangan.
"Sehubungan itu, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa supaya bertindak tegas bagi mendesak Israel menarik balik keputusan tersebut serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disampaikan secara penuh dan tanpa sekatan," menurut kenyataan itu.
Malaysia juga menegaskan bahawa Israel mesti dipertanggungjawabkan atas sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dilakukan.
"Solidariti penuh terhadap rakyat Palestin dan komitmen memperjuangkan penamatan kekejaman Israel, penghapusan sekatan Gaza serta penubuhan Negara Palestin yang merdeka berasaskan sempadan pra 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara," kata kenyataan itu lagi.
