KUALA LUMPUR, 25 November- Program pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) terus perkasa akses pendidikan di seluruh Institusi Pengajian Tinggi negara apabila mencecah 7,003 orang
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata; daripada jumlah tersebut, 5,760 terdiri daripada Bumiputera manakala 1,243 lagi bukan Bumiputera.
Tambahnya, sejak diperkenal tahun 2022, pelaksanaan Program Sulung tersebut melibatkan kos sebanyak 27 juta ringgit, sekaligus membuka ruang pendidikan lebih luas kepada golongan B40.
Kelantan mencatat jumlah tertinggi dengan 978 siswa manakala Labuan catat jumlah terendah seramai sembilan orang.
Program ini telah dilaksanakan secara rintis oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mulai sesi akademik 2022-2023 melibatkan 75 orang pelajar daripada lapan buah universiti awam.
Manakala bermula sesi akademik 2023-2024, Program Sulung telah diperluas kepada pelajar daripada semua bidang pengajian di 20 universiti awam.
"Kohort pertama Program Sulung ini terdiri daripada pelajar dalam bidang perubatan, pergigian, kejuruteraan, undang-undang, perakaunan dan perniagaan serta 'Teaching English as a second second language' (TESL)." katanya.
"Melalui pelaksanaan Program Sulung, pelajar tidak perlu lagi menanggung beban hutang pinjaman yang tinggi kerana sebahagian besarnya telah ditanggung oleh universiti awam melalui pemberian pengecualian yuran universiti. Dengan itu, akses kepada pendidikan tidak lagi menjadi sesuatu yang membebankan kepada pelajar daripada keluarga B40 yang terpilih di bawah program ini," tambah beliau ketika menjawab soalan yang dikemukan oleh Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi di Dewan Rakyat.
Program Siswa Sulung (SULUNG) adalah inisiatif kerajaan Malaysia untuk membantu anak sulung dari keluarga B40 yang melanjutkan pengajian di universiti awam dalam menyediakan peluang pembiayaan kepada generasi pertama.