fb fb fb fb fb

Rakyat diseru pamer sikap mesra sambut pelancong sempena VM2026

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing (tengah) ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) di Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 hari ini/ Foto BERNAMA

SEPANG, 1 Januari - Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menyeru seluruh rakyat Malaysia agar memainkan peranan bersama dalam mempamerkan sikap ramah dan mesra bagi menyambut kehadiran pelancong antarabangsa, selaras dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Beliau berkata, pembinaan imej positif negara bukan terletak kepada usaha kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen dan kerjasama seluruh rakyat termasuk dalam aspek layanan mesra serta kebersihan persekitaran.

Menurutnya, kementerian menerima beberapa aduan berkaitan sikap segelintir pihak yang kurang mesra terhadap pelancong, khususnya apabila pelancong mengemukakan pertanyaan.

“Saya telah meminta penjelasan daripada agensi berkaitan dan dimaklumkan terdapat keadaan di mana pelancong dilayan dengan sikap kurang mesra, malah ada yang menunjukkan kemarahan.

“Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar bersama-sama membuktikan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mesra dan budaya kita harus mencerminkan sikap mengalu-alukan kedatangan pelancong dari seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan pelawat antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA T1), di sini hari ini.

Mengulas mengenai promosi VM2026, Tiong berkata usaha yang dilaksanakan setakat ini menunjukkan perkembangan positif serta menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat tempatan dan pelancong antarabangsa.

Terdahulu, Tiong bersama warga Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya termasuk Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk P. Manoharan, menyambut ketibaan pelancong di Balai Ketibaan KLIA T1 dengan menyerahkan beg cenderahati kepada mereka.

Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan kebudayaan serta penampilan maskot rasmi VM2026, Wira dan Manja.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI