PUTRAJAYA, 25 November – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menasihatkan semua pihak yang berhasrat menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir termasuk badan korporat, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu supaya membuat penyelarasan awal dengan pihak berkuasa.
Langkah ini penting bagi memastikan keperluan mangsa dipenuhi secara tersusun dan berkesan.
Dalam satu kenyataan, NADMA mengakui menerima rungutan daripada NGO dan individu mengenai kesukaran menghantar barangan bantuan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka dan diselaras oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
NADMA menegaskan bahawa kerajaan amat menghargai keprihatinan semua pihak.
Namun, setiap sumbangan perlu melalui proses penyelarasan di peringkat sekretariat sebelum dihantar ke kawasan terjejas.
"Langkah ini penting bagi memastikan sumbangan yang diterima bersesuaian dengan keperluan di lapangan serta mencukupi mengikut jumlah mangsa, sekali gus mengelakkan lambakan, pembaziran sumber, pertindihan barangan, dan kerosakan bekalan," kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, NADMA menyeru semua penyumbang supaya menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri atau daerah terlebih dahulu bagi mendapatkan maklumat mengenai keperluan sebenar mangsa dan lokasi tepat sebelum mengatur pergerakan penghantaran bantuan.
Koordinasi ini juga membolehkan PKOB merekodkan jenis dan jumlah barangan yang diterima, seterusnya memudahkan penyaluran bantuan melalui satu saluran rasmi.
Kerajaan turut menegaskan komitmen untuk memastikan setiap tindakan respons bencana dilaksanakan secara teratur dan menyeluruh demi menjaga keselamatan serta kebajikan mangsa banjir.