KOTA KINABALU, 8 November - Sabah merekodkan nilai pelaburan diluluskan berjumlah RM11.37 bilion melibatkan pelbagai sektor bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia meliputi sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor utama dengan 7,892 peluang pekerjaan diwujudkan sejak 2022.
"Pencapaian ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap Sabah, terutama dengan pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Pelaburan Hijau (GIS) yang menyasarkan negeri itu sebagai hab pembuatan hiliran dan tenaga boleh baharu.
"Kerajaan menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memperkukuh kerjasama strategik bersama kerajaan negeri Sabah, bagi mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan ekonomi dan pelaburan di negeri ini," katanya ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Persatuan Industri Sabah di sini pada Sabtu.
Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
MITI melalui pelbagai agensinya sentiasa memberi fasiliti dan sokongan bagi memperkukuh sektor industri dan perniagaan di Sabah, termasuk memastikan pelabur mendapat akses mudah terhadap kemudahan, insentif serta infrastruktur sokongan yang mencukupi.
Tengku Datuk Seri Zafrul turut menekankan usaha membangunkan ekosistem pelaburan negeri tidak hanya tertumpu kepada projek mega, tetapi juga kepada pembangunan komuniti setempat, khususnya dalam memperluas akses masyarakat terhadap peluang pekerjaan dan keusahawanan.
Katanya lagi, dalam Belanjawan 2026, MITI turut menerima peruntukan penting termasuk RM200 juta Dana Pelaburan Bersama Strategik, RM180 juta Dana Pembangunan Industri NIMP, serta RM105 juta kepada VentureTECH bagi memperkukuh pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor berteknologi tinggi.
Kerajaan juga sedang melaksanakan projek menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Tawau, selain Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar yang dijangka siap pada 2027, bagi memperkukuh daya saing pelaburan Sabah.