KUALA LUMPUR, 26 Februari – Malaysia menegaskan pendirian untuk tidak mengiktiraf sebarang tuntutan China di Laut China Selatan, termasuk Peta Sembilan-Garis, konsep Empat-Sha, atau mana-mana peta China yang meliputi perairan negara.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata tiada keperluan untuk rundingan diplomatik dengan China mengenai Beting Patinggi Ali kerana kawasan itu jelas berada dalam perairan Malaysia berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.
"Pendekatan kerajaan dilaksanakan melalui mekanisme keseluruhan kerajaan untuk menyelaras tindakan bagi menjamin keselamatan perairan negara.
"Setiap agensi kerajaan memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kepentingan negara sentiasa dipertahankan," katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kasim di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Mohamad, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terus menjalankan rondaan, pemantauan serta penguatkuasaan bagi mempertahankan kedaulatan negara.