KUALA LUMPUR, 23 September– Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 bertekad agar pencapaian ekonomi rantau ini dapat diterjemahkan kepada hasil nyata, sekali gus membolehkan perniagaan berkembang dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pencapaian ekonomi ASEAN pada 2024 jelas menunjukkan kekuatan rantau ini sebagai hab perdagangan dan pelaburan global.
“Pada tahun 2024, ASEAN merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$3.9 trilion dengan kadar pertumbuhan 4.8%. Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) pula berjumlah AS$226 bilion, iaitu hampir 15% daripada jumlah global.
“Selain itu, perdagangan barangan meningkat kepada AS$3.84 trilion, naik hampir 9%, manakala perdagangan perkhidmatan mencecah AS$1.3 trilion dengan pertumbuhan 12%,” katanya semasa menyampaikan ucapan pembukaan Konsultasi AEM bersama rakan dialog Majlis Penasihat Perniagaan Asean (ASEAN-BAC).
Tambah beliau, kejayaan ini mencerminkan kerjasama erat sektor awam dan swasta yang sentiasa diperkukuh ASEAN-BAC melalui cadangan dasar, inisiatif utama serta kerjasama dengan rakan dialog antarabangsa.
Menurutnya, ASEAN-BAC telah menjadi rakan yang dipercayai dalam memastikan usaha integrasi bersifat praktikal, berdaya saing dan mesra perniagaan.
Sementara itu, Pengerusi ASEAN-BAC, Tan Sri Nazir Razak, menzahirkan penghargaan kepada Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN atas kepimpinan kolektif mereka ketika berdepan cabaran global, termasuk kejutan tarif.
Beliau berkata, sektor swasta mengiktiraf usaha ASEAN yang kekal bersatu dan mampu mengambil pendirian bersama meskipun setiap negara berdepan kesan yang berbeza.