fb fb fb fb fb

Malaysia perlu terus perkasa ekosistem halal, saingan sengit dunia

Foto Facebook Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 8 Februari- Malaysia tidak boleh sekadar berpuas hati dengan pencapaian sedia ada meskipun diiktiraf sebagai peneraju industri halal di peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan dunia kini berlumba-lumba menguasai pasaran halal dan persaingan semakin sengit apabila lebih banyak negara mula mengambil langkah agresif untuk memperkukuh kedudukan mereka dalam sektor ini.

"Sebaliknya, kita perlu bergerak lebih pantas, lebih strategik, dan lebih inovatif untuk memastikan Malaysia bukan sahaja kekal sebagai pemimpin industri halal dunia, tetapi juga menjadi pusat rujukan utama dalam semua aspek ekosistem halal global.

"Sehingga Disember 2024, indikator bagi industri halal menunjukkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 7.7 peratus pada RM146.6 bilion," menurut hantaran itu.

Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Agenda Halal Malaysia memaklumkan nilai industri halal dunia dianggarkan mencecah AS$ 3.1 trilion menjelang 2025.

Ke arah itu fokus utama strategi berkenaan adalah untuk meningkatkan daya saing jenama halal Malaysia di peringkat antarabangsa dan memanfaatkan potensi pasaran halal global yang terus berkembang.

"Saya telah memimpin usaha merangka strategi baharu yang lebih dinamik dan berkesan untuk melonjakkan jenama halal Malaysia ke tahap lebih tinggi.

"Dalam usaha merealisasikan visi ini, enam kluster utama telah dikenal pasti sebagai teras transformasi ekosistem halal Malaysia," tambah kenyataan itu.

Perkara itu termasuk dasar halal negara akan dikaji semula dan ditambah baik agar selaras dengan perkembangan global serta memenuhi keperluan lebih 1.9 bilion umat Islam di dunia.

Beliau berkata pensijilan halal akan didigitalisasikan sepenuhnya bagi mempercepatkan serta mempermudah proses permohonan, dengan sasaran mencapai 100 peratus digitalisasi menjelang 2026 selain mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan akan diperkukuh bagi menjamin kredibiliti pensijilan halal Malaysia.

Selain itu pelan pembangunan industri halal akan memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi seperti farmaseutikal halal, logistik halal, dan teknologi makanan, dengan sektor farmaseutikal halal sahaja dianggarkan bernilai AS$134 bilion sekali gus memacu pertumbuhan industri halal Malaysia yang kini menyumbang sekitar 7.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Bagi memastikan produk halal Malaysia dapat menembusi lebih banyak pasaran antarabangsa, strategi pemasaran baharu akan memanfaatkan platform digital dan e-dagang secara menyeluruh.

"Penganjuran MIHAS sebagai pameran halal terbesar dunia akan terus dijadikan landasan strategik untuk menarik pelabur dan pembeli global, dengan sasaran meningkatkan eksport produk halal Malaysia kepada RM63.1 bilion menjelang 2025, berbanding RM40 bilion pada 2023," tambahnya.

Dalam pada itu beliau turut menegaskan bahawa negara perlu lebih agresif dalam meneroka pasaran halal baharu, khususnya di Asia Barat, Eropah, Amerika, dan Afrika, bagi memastikan produk halal Malaysia terus relevan dan kompetitif di peringkat antarabangsa.

Untuk mewujudkan daya saing di peringkat dunia dan melahirkan tenaga kerja, pengurusan bakat dan tenaga kerja halal akan diperkasa melalui latihan, pensijilan profesional, serta peluasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) halal.

"Sasaran 50,000 tenaga kerja halal kompeten menjelang 2030 akan menjadi keutamaan, memastikan Malaysia mempunyai modal insan berkualiti yang mampu mengukuhkan kepimpinan negara dalam industri halal," menurut hantaran itu.

Pada masa sama penyelidikan dan pembangunan (R&D) halal akan terus diperkukuh, dengan kerjasama erat antara institusi akademik dan industri bagi menghasilkan inovasi baharu dalam produk serta perkhidmatan halal.

Perkara itu memastikan Malaysia memacu inovasi dan kepakaran teknikal dalam bidang halal, menjadikan negara kita sebagai pusat rujukan utama dalam pembangunan teknologi halal global.

"Saya yakin kejayaan ini dapat direalisasikan dengan sokongan padu kerajaan, industri, dan masyarakat.

"Malaysia mesti menerajui transformasi industri halal global, dan dengan strategi yang jelas serta kerjasama erat, insya-Allah negara kita akan terus menjadi hab halal unggul yang diyakini dunia," tambahnya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI