fb fb fb fb fb

Malaysia perkukuh peranan diplomatik tangani krisis kemanusiaan Gaza

Malaysia terus memperkukuh peranannya dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza melalui pelbagai saluran diplomatik / Foto Hiasan / Reuters

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Malaysia terus memperkukuh peranannya dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza melalui pelbagai saluran diplomatik termasuk Liga Negara-Negara Arab, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan pelbagai platform multilateral lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan telah melaksanakan segala langkah yang mampu bagi menyuarakan pendirian Malaysia secara lantang di peringkat antarabangsa.

“Kementerian Luar telah berusaha sedaya upaya menyuarakan pandangan kita dengan tegas. Malaysia antara negara yang keras pendiriannya dalam sidang OIC, serta pertemuan Liga Arab dan OIC yang diadakan berulang kali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

2207 PAR PM DIPLOMASI GAZA 2Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto Bernama

Menurut beliau, Malaysia turut menyuarakan pendirian dalam perbicaraan di The Hague, yang hanya disertai oleh segelintir negara Islam namun tetap dihadiri oleh Menteri Luar Negeri Malaysia bersama beberapa wakil lain.

“Di samping itu, inisiatif bersama Malaysia dan Jepun menerusi CEAPAD (Conference on Cooperation among East Asian Countries for Palestinian Development) akan diteruskan. Dua pertemuan telah diadakan sebagai persiapan untuk menggerakkan bantuan kemanusiaan sebaik sahaja keadaan mengizinkan,” jelasnya.

Tambah Datuk Seri Anwar, Malaysia turut memanfaatkan hubungan diplomatik dengan negara seperti Jordan dan Mesir bagi membuka laluan bantuan kemanusiaan ke wilayah bergolak tersebut.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN