
CEBU, 29 Oktober – Malaysia terus memperkukuh jalinan hubungan strategik dan diplomasi pertahanan serantau menerusi siri pertemuan dua hala Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama rakan sejawatan dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).
- Perbincangan julung kali dengan Menteri Pertahanan Korea Selatan Kang Shin-Chul selepas pelantikan beliau.
- Bincang potensi kerjasama pembangunan industri pertahanan dan pertukaran pandangan mengenai isu keselamatan serantau.
- Pertemuan dua hala dengan Setiausaha Perang AS Pete Hegseth semasa persidangan ADMM dan ADMM-Plus.
- Malaysia sambut komitmen AS menyokong keutuhan ASEAN dan memperkasa mekanisme blok untuk tangani cabaran keselamatan serantau.
Pertemuan peringkat tinggi itu diadakan di sela-sela Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus yang berlangsung di sini.
Dalam pertemuan bersama Menteri Pertahanan Korea Selatan Kang Shin-Chul, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata ia merupakan perbincangan bersemuka julung kali mereka sejak Shin-Chul dilantik menerajui kementerian berkenaan bulan lalu.
“Kami membincangkan potensi kerjasama dalam pembangunan industri pertahanan serta bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan isu keselamatan serantau,” kata Datuk Seri Mohamed Khaled menerusi satu kenyataan di Facebooknya.

Selain itu, beliau turut mengadakan pertemuan dua hala bersama Setiausaha Perang AS, Pete Hegseth di persidangan yang sama.
Beliau menyambut baik komitmen berterusan AS dalam menyokong keutuhan ASEAN serta memperkasa mekanisme yang diterajui blok berkenaan bagi menangani pelbagai cabaran keselamatan serantau.
“Semoga kerjasama pertahanan Malaysia-AS terus diperkukuh, seiring dengan peranan ASEAN sebagai platform dialog dan diplomasi serantau,” tambah beliau.