Kedai makan kotor macam sarang tikus diarah tutup

Foto tular

KULIM, 29 Oktober – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengarahkan sebuah premis makanan di Kulim ditutup selepas ia tular dibongkar seorang penghantar makanan kerana didakwa kotor seperti sarang tikus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeriksaan JKN mendapati kebersihan hanya 37.5 peratus serta penemuan najis tikus di premis.
  • Beberapa ketidakpatuhan serius dikesan termasuk lantai, dinding dan peralatan kotor serta kehadiran lalat.
  • Premis diarahkan ditutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan notis kompaun dikeluarkan.
  • JKN menasihatkan pengusaha dan platform memperkukuh kebersihan, kawalan perosak, pengurusan sisa serta patuhi keperluan perundangan.

Menurut kenyataan JKN, hasil pemeriksaan pada Selasa mendapati tahap kebersihannya hanya 37.5 peratus termasuk penemuan najis tikus di premis terbabit.

“Justeru aduan pemeriksaan terhadap premis yang menjalankan perniagaan melalui platform penghantaran makanan dalam talian itu adalah berasas dengan beberapa ketidakpatuhan serius termasuk melibatkan keadaan lantai, dinding dan peralatan yang kotor, kehadiran lalat serta penemuan najis tikus di premis tersebut,” tegasnya.

Sehubungan itu, JKN Kedah telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengarahkan premis ditutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 mulai 26 Oktober.

“Satu notis kompaun juga dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“JKN memandang serius sebarang pelanggaran keperluan kebersihan dan keselamatan makanan,” ujar kenyataan itu lagi.

Pihaknya mengingatkan semua pengusaha makanan supaya sentiasa memastikan premis berada dalam keadaan bersih, melaksanakan kawalan makhluk perosak, mengurus sisa makanan dengan sempurna serta mematuhi semua keperluan perundangan berkaitan keselamatan makanan yang berkuat kuasa.

“Selain itu pihak platform penghantaran makanan dalam talian disarankan untuk terus memperkukuh mekanisme kawalan dalaman, termasuk memastikan premis yang disenaraikan memenuhi keperluan perundangan dan syarat pelesenan yang berkaitan.

Kerjasama pihak platform dalam mengambil tindakan sewajarnya terhadap premis yang didapati tidak mematuhi keperluan keselamatan dan kebersihan makanan, termasuk mempertimbang penyahsenaraian akan membantu melindungi kesihatan dan keselamatan pengguna,” jelas kenyataan sama.

JKN menasihatkan orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memilih premis makanan yang bersih dan selamat serta menyalurkan aduan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan melalui saluran rasmi Kementerian Kesihatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.