Malaysia negara pertama iktiraf Sumud Flotilla Nusantara sebagai misi nasional

Jelas Datuk Seri Amirudin, penyertaan Malaysia dalam GSF 2.0 mencerminkan sokongan 34 juta rakyatnya terhadap usaha membela nasib rakyat Palestin.

BARCELONA, 13 April– Malaysia menjadi negara pertama yang mengiktiraf penyertaan dalam Sumud Flotilla Nusantara sebagai misi nasional.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan mengiktiraf Sumud Flotilla Nusantara sebagai misi nasional bagi memperkukuh solidariti dan sokongan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
  • Pengiktirafan disokong semua ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menunjukkan konsensus politik menyokong usaha kemanusiaan.
  • Penyertaan Malaysia dalam GSF 2.0 menggambarkan sokongan 34 juta rakyat untuk membela nasib rakyat Palestin.
  • GSF 2.0 melibatkan kira-kira 1,000 peserta dari lebih 70 negara dan lebih 70 kapal, membawa bantuan serta meningkatkan kesedaran global.

Langkah itu memperlihatkan komitmen negara dalam memperkukuh solidariti terhadap rakyat Palestin menerusi penyertaan dalam Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengiktirafan tersebut mencerminkan pendirian kerajaan dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin atas dasar kemanusiaan.

“Kali ini Malaysia bukan sahaja memberi sokongan tetapi mengiktiraf Sumud Flotilla Nusantara sebagai misi nasional.

Inisiatif ini disokong oleh semua ahli parlimen kerajaan dan pembangkang,” katanya dalam sidang media GSF 2.0, di sini.

Tambah beliau, penyertaan Malaysia dalam GSF 2.0 mencerminkan sokongan 34 juta rakyatnya terhadap usaha membela nasib rakyat Palestin.

Beliau turut menzahirkan harapan agar misi berkenaan berjaya mencapai matlamatnya.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa pemandu dan semua peserta GSF 2.0 dan berharap misi ini mencapai kejayaan.”

“Antara sasaran kita adalah untuk sampai ke Gaza, namun dalam masa sama tujuan kita ialah memastikan komuniti dunia memahami isu Gaza yang melangkaui kaum, agama dan sempadan,” katanya.

GSF 2.0 melibatkan kira-kira 1,000 peserta dari lebih 70 negara dengan penyertaan lebih 70 kapal.

Ini merupakan inisiatif global dalam usaha membawa bantuan serta meningkatkan kesedaran dunia terhadap krisis di Gaza.