Malaysia komited terhadap ekosistem AI global

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Februari – Malaysia komited untuk memainkan peranan aktif dalam membentuk ekosistem kecerdasan buatan (AI) global yang lebih saksama, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia komited menyertai pembentukan ekosistem AI global yang lebih saksama dan bertanggungjawab.
  • Penyertaan di Sidang Kemuncak Impak AI India 2026 dipandang sebagai peluang memperkukuh pembangunan AI inklusif.
  • Fokus kepada prinsip Manusia, Planet dan Kemajuan untuk hasil nyata, kerjasama dan inovasi berteraskan rakyat.

Beliau berkata komitmen itu diperkukuh susulan lawatan rasmi Perdana Menteri India Narendra Modi ke Malaysia baru-baru ini, yang telah memberi impak signifikan terhadap perjalanan pendigitalan negara.

Gobind menerusi hantaran di plaform X berkata Malaysia berbesar hati menerima jemputan ke Sidang Kemuncak Impak AI India 2026, iaitu sidang kemuncak AI global pertama yang dianjurkan di Global South, dan menyifatkannya sebagai platform bermakna untuk memajukan pembangunan AI yang inklusif dan bertanggungjawab.

Menurut laporan media antarabangsa, sidang kemuncak yang bermula pada 16 Feb di New Delhi itu menghimpunkan lebih 35,000 pemimpin global dari lebih 100 negara, termasuk tokoh utama dalam industri teknologi global.

Gobind berkata sidang kemuncak itu berteraskan tiga prinsip utama iaitu Manusia, Planet dan Kemajuan serta melangkaui kenyataan politik ke arah hasil yang nyata, rangka kerja kerjasama dan keputusan yang boleh diukur pada ketika jurang AI global semakin melebar.

“Misinya jelas untuk memastikan AI berkhidmat kepada kemanusiaan, memacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif, memupuk inovasi berteraskan rakyat dan melindungi planet kita,” katanya.

Gobind berkata beliau menantikan penglibatan bermakna pada sidang kemuncak itu serta membawa pulang pandangan berharga untuk memperkukuh agenda transformasi digital Malaysia.

Sidang kemuncak itu mempamerkan penyelesaian AI yang praktikal, teknologi dan pembangunan gunaan merentasi pelbagai sektor, termasuk industri, kewangan, penjagaan kesihatan dan keselamatan. – BERNAMA