
KUALA LUMPUR, 27 Mei – Malaysia kekal dengan pendirian tegas mengecam sebarang tindakan serangan dan pencerobohan di Asia Barat, termasuk serangan dron serta operasi ketenteraan Israel-Amerika Syarikat yang mengorbankan nyawa rakyat tidak berdosa.
- Anwar menghubungi Presiden Iran Dr Masoud Pezeshkian menyampaikan ucapan Eid Mubarak serta salam persaudaraan dan doa rakyat Malaysia.
- Beliau menzahirkan harapan agar Iran segera kembali aman dan pertumpahan darah dihentikan melalui jalan damai serta diplomasi bertanggungjawab.
- Anwar merakam penghargaan atas bantuan Iran dalam membantu urusan pelepasan kapal Malaysia di Selat Hormuz baru-baru ini.
- Presiden Iran menghargai pendirian konsisten Malaysia menjunjung keamanan, keadilan dan prinsip kemanusiaan serta mengundang beliau melawat Tehran.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menyampaikan pendirian itu kepada Presiden Iran Dr Masoud Pezeshkian menerusi perbualan telefon, semalam.
“Alhamdulillah, saya berkesempatan mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Republik Islam Iran Dr Masoud Pezeshkian, bagi menyampaikan ucapan Eid Mubarak serta salam persaudaraan dan doa daripada seluruh rakyat Malaysia buat rakyat Iran,” kata beliau menerusi catatan di laman Facebook.
Datuk Seri Anwar berkata, dalam perbualan tersebut, beliau turut menzahirkan harapan agar Iran segera kembali aman serta segala ketegangan dan pertumpahan darah dapat dihentikan menerusi jalan damai serta diplomasi yang bertanggungjawab.
Beliau juga merakamkan penghargaan atas sokongan dan kerjasama Iran dalam membantu urusan pelepasan kapal Malaysia di Selat Hormuz, baru-baru ini.
“Sikap saling menghormati dan semangat persahabatan seperti inilah yang harus terus diperkukuh dalam hubungan antara negara,” kata Perdana Menteri.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar berkata Masoud turut menyatakan penghargaan terhadap pendirian konsisten Malaysia yang menjunjung keamanan, keadilan dan prinsip kemanusiaan pada peringkat antarabangsa.
Beliau berkata Presiden Iran itu turut mengundang beliau mengadakan lawatan ke Tehran, bagi memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
“Insya-Allah, saya akan mengatur jadual untuk ke Iran pada masa yang sesuai.
“Iran sentiasa dekat di hati saya, apatah lagi ramai sahabat dan kenalan di sana yang terus mempertahankan nilai ilmu, persaudaraan dan perjuangan kemanusiaan sejagat,” kata Datuk Seri Anwar. – BERNAMA