KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia akan terus memperkukuh usaha bersama negara sahabat termasuk Mesir bagi mencari laluan terbaik menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza melalui Sempadan Rafah.
Beliau berkata, cabaran yang dihadapi amat besar, namun iltizam Malaysia jauh lebih kukuh demi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang amat memerlukan di wilayah itu.
"Kita faham cabaran yang besar, namun iltizam kita lebih daripada itu.
Setiap usaha rundingan dan koordinasi ini adalah demi memastikan rakyat Gaza mendapat hak mereka untuk hidup, menerima bantuan, dan bebas daripada kezaliman," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan agar rakyat Malaysia tidak sesekali menyerah dalam isu kemanusiaan.
“Ini isu kemanusiaan dan kita perlu terus berikhtiar serta tidak berganjak dalam pendirian kita memperjuangkan keadilan. Jangan sekali kita menyerah,” katanya.
Dalam ucapan beliau pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi, beliau berikrar menggunakan segala ruang diplomasi antaranya dengan menghubungi Presiden Mesir, Abdul Fattah al-Sisi untuk berunding agar Rafah dibenarkan sebagai pintu masuk ke Palestin.