KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik kemajuan dalam rundingan gencatan senjata di Gaza yang disifatkan sebagai perkembangan membawa sinar harapan kepada rakyat Palestin.
Beliau berkata, perkembangan itu memberikan harapan selepas berbulan-bulan penderitaan dan kemusnahan yang menimpa penduduk di wilayah berkenaan akibat serangan berterusan rejim Israel.
“Setiap usaha bagi menamatkan keganasan serta melindungi nyawa orang tidak berdosa mesti dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau menegaskan, Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka menuntut keadilan, maruah dan penubuhan negara berdaulat yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.
“Saya menyeru semua pihak berkaitan agar mengambil peluang ini untuk bergerak ke arah keamanan yang menyeluruh dan berkekalan,” katanya lagi.
Kumpulan Palestin Hamas pada awal Khamis mengumumkan persetujuan terhadap fasa pertama pelan gencatan senjata Gaza yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, sekali gus membuka laluan ke arah pengakhiran konflik berpanjangan di wilayah itu.