KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Program Kenali Penyiaran, Dekati Ilmu, inisiatif RTM melalui Pusat Sumber Penyiaran, memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai bidang penyiaran sebagai pilihan kerjaya profesional.
Menurut Pengarah Bahagian Program TV RTM, Reza Shahriman Othman,program berkenaan turut memberi nilai kukuh kepada peserta untuk menjadi warganegara yang bermaklumat dan bertanggungjawab.
Jelas Reza, program berkenaan turut memfokuskan kepentingan ilmu pengetahuan dan amalan membaca yang menjadi teras kepada pembangunan ilmu dan kemahiran komunikasi.
"Apa yang kita tekankan ialah kepentingan pengetahuan dan rasa tanggungjawab dalam kalangan pelajar.
"Dalam dunia yang dipenuhi dengan berita palsu, salah maklumat (malinformation), pengetahuan dan sikap tanggungjawab mampu menghindar dari menyebarkan maklumat palsu dan sentiasa memastikan maklumat yang dikongsi adalah sahih dan tepat," jelasnya pada program tersebut di Angkasapuri.
Seramai 40 pelajar dari 10 buah sekolah sekitar ibu negara menyertai program berkenaan yang diharap dapat membuka minda pelajar kepada prospek kerjaya dalam bidang penyiaran.