fb fb fb fb fb

Kerajaan salur RM3.7 bilion sokong aktiviti RDC&I negara

Gambar perhiasan

KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Kerajaan menyalurkan sebanyak RM3.7 bilion sejak tahun 2020 bagi menyokong aktiviti Penyelidikan, Pembangunan, Komersialisasi dan Inovasi (RDC&I) di seluruh negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata berdasarkan Kajian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Kebangsaan 2023, sumbangan sektor swasta dalam aktiviti R&D negara meningkat hampir dua kali ganda kepada RM11.02 bilion pada 2022.

Manakala sektor kerajaan membelanjakan RM7.14 bilion bagi projek yang lebih bersasar.

Beliau berkata, usaha itu telah membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global (GII) 2025, sekali gus memperlihatkan kemajuan ketara dalam ekosistem sains dan teknologi negara.

“Kedudukan Kuala Lumpur dalam Senarai 100 Terbaik Kluster Sains dan Teknologi (S&T) meningkat ke tangga 86 berbanding 93 pada tahun sebelumnya.

"Pencapaian ini lebih membanggakan kerana Malaysia kini antara 15 negara di dunia yang mempunyai dua atau lebih kluster dalam senarai tersebut, dengan kluster kedua ialah kluster rentas sempadan Singapura-Malaysia (Johor Bahru),” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Chang, kejayaan itu didorong oleh peningkatan ketara dalam aktiviti pemfailan paten, penerbitan ilmiah berkualiti dan pelaburan modal teroka, yang diterajui oleh entiti tempatan berinovasi tinggi.

Beliau menambah, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan terus memperkukuh ekosistem RDC&I melalui langkah-langkah strategik.

Ini termasuk meningkatkan pelaburan swasta serta mempercepat pengkomersialan inovasi menerusi inisiatif Malaysia Commercialization Year (MCY).

“Fokus turut diberikan kepada bidang utama seperti teknologi hijau, tenaga boleh baharu, kecerdasan buatan (AI), nanoteknologi dan bioteknologi bagi memperkukuh daya saing negara dalam ekonomi berasaskan pengetahuan,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN