fb fb fb fb fb

Buli siber: 27,704 kandungan diturunkan setakat 1 Oktober

Foto BERNAMA

SENDAYAN, 9 Oktober - 35,781 aduan berhubung buli siber diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan 27,704 kandungan berkaitan telah diturunkan bagi tempoh Januari hingga 1 Oktober lepas.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching situasi itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding 8,756 kandungan diturunkan daripada 11,385 aduan buli siber yang diterima tahun lepas.

"Situasi ini membimbangkan. Angka tersebut menunjukkan jumlah kandungan yang diturunkan tahun ini meningkat hampir 3.2 kali ganda berbanding jumlah keseluruhan tahun lepas," jelasnya kepada media selepas Majlis Perasmian Kempen Internet Selamat (KIS) Peringkat Negeri Sembilan, di sini.

Justeru beliau tegaskan yang perkara itu perlu ditangani segera dengan mengambil tindakan proaktif termasuk memperkasakan lagi kempen kesedaran berkaitan buli siber, pendidikan digital dan pemantauan berterusan terhadap kandungan dalam talian.

Negeri Sembilan menjadi negeri pertama yang berjaya melaksanakan KIS secara menyeluruh di semua 479 buah sekolah rendah dan menengah di negeri itu.

Setakat hari ini, 4,511 buah sekolah di seluruh negara telah menyertai KIS melibatkan lebih 227,000 peserta terdiri daripada pelajar, guru dan pihak berkaitan.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN