fb fb fb fb fb

Misi FFC: Sembilan aktivis Malaysia selamat

Foto RTM

SERI KEMBANGAN, 9 Oktober - Sembilan aktivis Malaysia yang terlibat misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) berada dalam keadaan selamat dan tiada kecederaan serius dilaporkan selepas kapal dinaiki mereka dirampas rejim Zionis.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar.

Menurut beliau, berlaku insiden kekasaran semasa pemintasan dan aktivis terlibat turut melaporkan berlaku rampasan barangan peribadi.

"Bagaimanapun tiada kecederaan serius yang disahkan. Tujuh daripada aktivis terlibat telah bertemu dengan peguam dari Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) untuk urusan guaman selanjutnya.

"Peguam ADALAH turut memaklumkan semua 145 aktivis misi tersebut telah dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev," jelas beliau pada liputan Perkembangan Misi FFC, di sini. 

Tambah Kamarul Zaman, kesemua aktivis Malaysia telah dinasihati untuk menandatangani surat penghantaran semula supaya urusan pengeluaran boleh dilaksanakan dalam tempoh 72 jam.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia dan Turkiye atas usaha diplomatik berterusan bagi memastikan keselamatan serta urusan pemulangan delegasi berjalan lancar.

Menurut beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi Presiden Turkiye Presiden Recep Tayyip Erdogan berhubung perkara itu dan usaha diplomatik sedang dijalankan bagi menguruskan proses penghantaran pulang rakyat Malaysia.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN