KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Malaysia tidak akan berhenti berusaha dalam memperjuangkan keadilan dan keamanan untuk rakyat Palestin, meskipun laluan menuju perdamaian masih panjang dan mencabar, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pelan damai Gaza yang kini menampakkan usaha permulaan perlu dilihat sebagai ruang awal bagi menghidupkan semula diplomasi berprinsip.
“Pelan Damai Gaza menampakkan usaha permulaannya, namun jalan menuju damai masih panjang dan berliku.
“Malaysia menyokong semangat persefahaman awal ini bukan kerana kita tunduk, sebaliknya kerana yakin diplomasi yang berani dan berprinsip mampu membuka ruang kepada keamanan sebenar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa usaha menoktahkan kezaliman dan penindasan terhadap rakyat Palestin akan diteruskan.
“Kita tidak puas hati sepenuhnya, namun kita tidak akan berhenti berusaha. Setiap langkah adalah untuk menoktahkan kezaliman dan penindasan yang semakin menggila,” katanya.
Dalam video berdurasi 1 minit 14 saat, Datuk Seri Anwar menegaskan Malaysia bersama dunia Arab, Islam dan negara progresif mahu penindasan serta kekejaman rejim Zionis Israel segera dihentikan.
“Kita mahu Gaza bebas dan kita mahu bantuan kemanusiaan segera sampai. Namun ia tidak seharusnya dijadikan polemik politik seolah-olah Malaysia tunduk atau menjual maruah kepada mana-mana kuasa besar, termasuk Amerika Syarikat,” tegas beliau.