fb fb fb fb fb

Malaysia harap rundingan di Mesir mampu capai gencatan senjata

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Malaysia berharap rundingan pelan damai antara delegasi Hamas dan Israel di Mesir menjadi titik permulaan ke arah gencatan senjata sepenuhnya.

Harapan itu sekali gus membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan segera kepada rakyat Palestin.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif melalui hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS) serta negara-negara lain termasuk Qatar, Mesir dan Turkiye bagi menyokong proses rundingan damai berkenaan.

"Semalam, 8 Oktober 2025, Presiden AS Donald Trump telah mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju melaksanakan fasa pertama pelan damai bagi menamatkan peperangan di Gaza.

"Fasa pertama ini melibatkan pelaksanaan gencatan senjata, pertukaran tahanan antara kedua-dua pihak, pengunduran tentera Israel dari Gaza ke garisan parameter yang akan dipersetujui insya Allah dan termasukkan bantuan kemanusiaan ke Gaza," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, pelan damai yang dibentangkan oleh Trump membuka ruang penting untuk menghentikan pembunuhan, kemusnahan dan jenayah kemanusiaan yang berlaku di Gaza sejak sekian lama.

“Pelan ini membuka ruang, pertama untuk menghentikan genocide, kemusnahan dan pembunuhan. Yang lebih penting ialah memberi peluang kepada masyarakat antarabangsa memulakan penghantaran misi kemanusiaan ke Gaza,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan berhubung pandangan Malaysia tentang implikasi pelan damai 20 perkara yang diumumkan AS terhadap masa depan rakyat Palestin dan proses keamanan Asia Barat

GRACE AISYAH KEDAYAN