
MANILA, 17 November – ASEAN Campur Tiga (APT) perlu mewujudkan rangkaian rizab makanan serantau yang merangkumi komoditi makanan penting lain, sebagai usaha melindungi rantau ini daripada risiko ketidaktentuan bekalan global.
- Perkukuh Rizab Beras Kecemasan APTERR sedia ada sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan.
- Kembangkan rangkaian rizab makanan serantau yang merangkumi komoditi penting selain beras.
- Manfaatkan RCEP dengan lebih berkesan untuk memperkukuh perdagangan dan keselamatan bekalan.
- Perkukuh kerjasama pemprosesan mineral kritikal melalui pemindahan teknologi, pelaburan dan pembangunan kapasiti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar rizab beras kecemasan sedia ada diperkukuh bagi mendepani isu berkenaan.
Kenyataan Negara itu disampaikan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi pihak Perdana Menteri pada Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, di sini.
“Kita perlu memperkukuh Rizab Beras Kecemasan ASEAN Campur Tiga (APTERR) sedia ada ke arah pembentukan rangkaian rizab makanan serantau yang turut merangkumi komoditi penting selain beras, dengan menggembleng sumber bersama bagi menghadapi gangguan bekalan secara mendadak,” katanya.
Malaysia turut menyeru agar Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dimanfaatkan dengan lebih berkesan.
Penyelarasan lebih erat boleh dilaksanakan demi kelancaran bekalan makanan, bahan api dan input pertanian sekiranya berlaku gangguan.
Menurut Perdana Menteri, APT perlu turut memperkukuh kerjasama dalam pemprosesan mineral kritikal yang mampan dan berdaya tahan menerusi pemindahan teknologi, pelaburan dan pembangunan kapasiti.
Mengenai perkembangan di Asia Barat, beliau menggesa ASEAN Campur Tiga memanfaatkan pengaruh kolektifnya bagi meredakan ketegangan dan menyokong usaha mencapai keamanan berkekalan.