fb fb fb fb fb

Malaysia bantu sedia latihan, pendidikan belia negara-negara membangun dan selepas perang

Rundingan meja bulat bersama pengurusan tertinggi Forum Ekonomi Dunia atau World Economic Forum (WEF) di Geneva

PUTRAJAYA, 10 September - Malaysia akan membangunkan Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan, khusus bagi belia daripada negara-negara membangun dan negara selepas perang seperti Iraq, Afghanistan, Libya dan Timor Leste.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, perkara itu dipersetujui dalam pertemuan dua hala beliau dengan Presiden Institut Kajian Ekonomi ASEAN dan Asia Timur (ERIA) Profesor Tetsuya Watanabe, Ketua Pakar Perdagangan di Bank Dunia Dr Roberto Echandi, dan Pengurus Praktis dan Perdagangan Global di Bank Dunia, dalam lawatan empat hari beliau ke Switzerland pada 6 hingga 9 Sept lepas.

“Ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada negara kerana mendapat mandat untuk membangunkan pusat berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pada masa sama ia juga adalah sebagai satu daripada usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memberikan akses pendidikan yang terbaik kepada penduduk negara-negara berkenaan untuk mendapat pendidikan tinggi, seterusnya berbakti membangunkan negara masing-masing.

Zambry berkata hasrat itu disambut baik selaras dengan fokus KPT iaitu mengantarabangsakan pendidikan tinggi.

"Pada peringkat awal, Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menjadi penyelaras bagi program-program berkaitan, dalam menjayakan inisiatif ini,” katanya.

Dalam lawatan beliau selama empat hari ke Switzerland atas jemputan Institut Perdagangan Dunia (WTI) itu, beliau menyertai beberapa perjumpaan dua hala, mengadakan perbincangan, di samping menyampaikan ucaptama.

Zambry berkata lawatan ke Switzerland membuahkan hasil dan memperkukuh lagi hubungan dua hala serta kerjasama strategik dalam menjayakan agenda pembangunan bakat terbaik dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi. - BERNAMA

Trainee