Malaysia Airlines batal beberapa penerbangan ke Asia Barat

Foto BERNAMA

SEPANG, 28 Februari – Malaysia Airlines (MAS) membatalkan beberapa penerbangan ke dan dari Doha, Jeddah serta Madinah bagi tempoh 28 Februari hingga 1 Mac sebagai langkah berjaga-jaga susulan perkembangan keselamatan di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa penerbangan ke dan dari Doha, Jeddah serta Madinah dibatalkan sementara susulan perkembangan keselamatan di Asia Barat.
  • Senarai penerbangan terjejas termasuk MH160, MH156, MH158, MH159, MH161, MH164, MH165 dan MH157 pada 28 Feb hingga 1 Mac.
  • Penumpang terjejas dimaklumkan, diberi bantuan dan pengaturan perjalanan alternatif jika perlu.
  • Penerbangan ke London dan Paris beroperasi seperti biasa menggunakan laluan alternatif tanpa melibatkan zon konflik.

Syarikat penerbangan nasional itu dalam kenyataan memaklumkan keputusan dibuat berikutan penutupan ruang udara di beberapa bahagian rantau tersebut susulan ketegangan serantau yang semakin memuncak.

Antara penerbangan yang terjejas pada 28 Februari ialah MH160 (Kuala Lumpur–Doha), MH156 (Kuala Lumpur–Jeddah), MH158 (Kuala Lumpur–Madinah), MH159 (Madinah–Kuala Lumpur) serta MH161 (Doha–Kuala Lumpur).

Turut dibatalkan pada 1 Mac ialah MH164 dan MH165 (Doha–Kuala Lumpur) serta MH157 (Jeddah–Kuala Lumpur).

Penumpang yang terjejas sedang dimaklumkan dan akan menerima bantuan termasuk pengaturan perjalanan alternatif jika perlu.

Penerbangan ke destinasi berkenaan digantung sementara sehingga penilaian lanjut terhadap keadaan keselamatan selesai dijalankan.

Penumpang dinasihatkan mengemas kini maklumat perhubungan menerusi fungsi ‘My Booking’ bagi menerima perkembangan terkini.

Bantuan juga boleh diperoleh melalui Pusat Panggilan Global Malaysia Airlines.

Sementara itu, penerbangan MH4 Kuala Lumpur–London dan MH20 Kuala Lumpur–Paris Charles de Gaulle beroperasi mengikut jadual dengan menggunakan laluan alternatif yang tidak melibatkan zon konflik.

Malaysia Airlines memaklumkan, pihaknya akan terus memantau situasi semasa dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan operasi penerbangan kekal selamat dan terjamin, dengan keselamatan penumpang serta kru menjadi keutamaan.