Majlis makan malam ACMROCH perkukuh hubungan ASEAN-China

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming

IPOH, 1 Ogos – Majlis makan malam sempena Persidangan Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan (ACMROCH) 2026 menjadi platform mengeratkan hubungan antara negara anggota ASEAN dan China.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nga Kor Ming tekankan majlis tidak rasmi mengeratkan persahabatan, meningkatkan persefahaman dan membina kepercayaan merentas sempadan.
  • Hadir termasuk menteri, timbalan menteri, naib menteri ASEAN dan China serta Setiausaha Agung ASEAN dan delegasi diplomatik.
  • Majlis mempromosi keunikan budaya, gastronomi dan tarikan pelancongan Perak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
  • Persidangan tiga hari ACMROCH membincangkan bandar mampan, perumahan berkualiti dan komuniti inklusif, dengan kira-kira 300 delegasi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pertemuan di luar sesi rasmi persidangan itu memberi ruang kepada delegasi untuk memperkukuh persahabatan merentas sempadan dalam suasana lebih santai.

“Malam ini, kita ketepikan seketika perbincangan rasmi persidangan meja bulat. Sebaliknya, kita memberi tumpuan kepada usaha mengeratkan hubungan, meningkatkan persefahaman, memperkukuh persahabatan merentas sempadan serta membina kepercayaan melalui kebersamaan,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Majlis Makan Malam ACMROCH 2026 di Ipoh, malam Sabtu.

Majlis itu menghimpunkan menteri, timbalan menteri dan naib menteri negara anggota ASEAN dan China, selain Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar China, Ni Hong, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, duta, pesuruhjaya tinggi serta delegasi ASEAN dan China.

Dalam pada itu, Nga berkata penganjuran majlis berkenaan turut dimanfaatkan untuk memperkenalkan keunikan budaya, gastronomi dan tarikan pelancongan Perak kepada delegasi antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Bandaraya Ipoh dan Kerajaan Negeri Perak kerana menganjurkan acara yang mengetengahkan keunikan sajian tempatan serta seni budaya negeri ini.

“Majlis makan malam ini merupakan jemputan terbuka kepada semua untuk menikmati keunikan Perak, khususnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan lebih 11 juta pelawat dijangka berkunjung,” katanya.

Menurutnya, Ipoh mempunyai keunikan tersendiri menerusi landskap batu kapur, sejarah perlombongan bijih timah, warisan, alam semula jadi serta layanan masyarakat tempatan.

Delegasi turut berpeluang menikmati sajian tradisional Perak termasuk kopi putih Ipoh yang disifatkan Nga sebagai antara simbol hospitaliti tempatan.

Beliau turut menggalakkan delegasi ASEAN dan China meluangkan masa mengunjungi kawasan warisan serta lokasi bersejarah di Perak termasuk Kuala Kangsar sepanjang berada di negeri itu.

Persidangan ACMROCH yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan kira-kira 300 delegasi dari negara anggota ASEAN dan China.

Meja bulat itu membincangkan pembangunan bandar mampan, perumahan berkualiti serta pembentukan komuniti inklusif.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.