fb fb fb fb fb

MAIPs gesa pemimpin masyarakat segerakan pemakluman mengenai mangsa ribut untuk penyaluran bantuan

PADANG BESAR, 13 Julai- Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kini dalam proses mengagihkan Bantuan Bencana kepada kesemua 102 mangsa ribut.

Sehingga kini, MAIPs telah mengenal pasti 99 daripada mangsa terlibat akan menerima antara RM500 - RM10,000 bagi membaiki kediaman masing-masing yang akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, manakala tiga mangsa lagi akan mendapat bantuan antara RM40,000 hingga RM50,000 setiap seorang bagi membina rumah baharu setelah kediaman rosak teruk.

Jumlah bantuan yang disalurkan hasil bancian dan siasatan pihak MAIPs bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat berdasarkan kerosakan yang ditanggung setiap mangsa.

"Sebagaiman titah DYTM Raja Muda selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPS menitahkan agar mangsa atau anggota masyarakat menyegerakan penyaluran maklumat melalui pemimpin-pemimpin masyarakat termasuk para amil yang juga pemimpin-pemimpin setempat untuk disalurkan kepada agensi kerana sebahagian daripada mangsa ini tidak diketahui oleh pihak agensi.

"Jadi sekiranya ada isu-isu keterlibatan mangsa-mangsa dalam keciciran kita, kami amat menggalakkan kepada pemimpin-pemimpin setempat untuk menyegerakan pemakluman kepada kami, pihak agensi untuk salurkan bantuan," kata Mohd Nazim.

Beliau menyatakannya kepada RTM ketika mengiringi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyantuni mangsa ribut di Taman 20 dan Kampung Perawah.

Baginda turut menasihati mangsa ribut agar bersabar dengan dugaan yang menimpa dan bantuan akan disalurkan segera oleh pihak MAIPs berikutan keadaan cuaca yang masih hujan dan berangin ketika ini.

 


(Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyantuni mangsa ribut
di Taman 20 dan Kampung Perawah)

Media Baharu