fb fb fb fb fb

Mahu isu perumahan ATM diselesaikan segera, keselesaan dan kesejahteraan anggota diutamakan - PM

SEGAMAT, 6 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Kementerian Pertahanan untuk segera mencari penyelesaian isu berkaitan perumahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan aspek perumahan, keselesaan dan kesejahteraan anggota di kem ATM sentiasa diberikan keutamaan.

"Walaubagaimanapun saya difahamkan sedikit demi sedikit masalah perumahan sedang diselesaikan. Banyak cadangan yang dikemukakan kepada Kementerian Pertahanan untuk menyelesaikan isu ini dan saya harap ia diberikan perhatian.

"Jika kita ingin menunggu bajet daripada kerajaan dengan jumlah yang tidak besar, mungkin kita boleh menyiapkan 1,000 unit setahun. Bermakna kalau kita ada 30,000 unit belum diselesaikan, kita terpaksa menunggu 10 tahun untuk menyelesaikan isu perumahan di kem atau untuk anggota ATM," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas melancarkan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Kem Segamat.

(Ismail Sabri berucap melancarkan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) di Kem Segamat)

RKMAT merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan menerusi Blueprint Perumahan 2.0 dengan membina lebih 28,000 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera di seluruh negara bermula 2021 hingga 2030.

Projek RKMAT di Kem Segamat melibatkan 305 unit kepada Anggota Rejimen Ke-4 Artileri Diraja.

Ia dilaksanakan pada 2018 dan siap sepenuhnya semalam.

305 unit kediaman merangkumi 25 unit rumah pegawai dan 280 unit bagi anggota lain-lain pangkat.

Media Baharu