fb fb fb fb fb

MAHB lantik Nungsari sebagai pengerusi

Dr Nungsari Ahmad Radhi/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Mei- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengumumkan pelantikan Dr Nungsari Ahmad Radhi sebagai pengerusinya berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Tan Sri Zainun Ali yang akan memegang jawatan sebagai pengarah.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat pengurusan lapangan terbang itu berkata Nungsari mempunyai pengalaman luas dalam industri penerbangan.

“Beliau telah berkhidmat terutamanya sebagai pesuruhjaya Suruhanjaya Penerbangan Malaysia sejak penubuhannya dan seterusnya sebagai pengerusi eksekutif bermula Julai 2018 hingga April 2020.

"Beliau juga merupakan ahli ekonomi yang pada masa ini adalah ahli bukan eksekutif bebas lembaga pengarah Bank Negara Malaysia dan ahli jawatankuasa penasihat dasar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara," katanya.

Dalam pada itu, MAHB berkata sepanjang berkhidmat sebagai pengerusi, Zainun sangat teliti dalam memastikan piawaian yang tertinggi bagi tadbir urus korporat dan integriti dipertahankan dalam kumpulan, dan melaksanakan peranan penting dalam perbincangan mengenai perjanjian operasi baharu MAHB dengan kerajaan.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI