
SERDANG, 2 September – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 merekodkan 1.87 juta pengunjung setakat semalam, dengan nilai jualan hampir RM12 juta.
- Sistem PADAN dilancar untuk menyepadukan data nelayan, lesen, bot, pendaratan hasil serta rekod bantuan dan subsidi dalam satu pangkalan data berpusat.
- Penganjur beri penjelasan mengenai caj sewaan buggy; perkhidmatan tertentu berbayar untuk korporat, awam dibekalkan tram, bas dan buggy percuma.
- Sesi padanan perniagaan dan jualan berskala besar dijangka tingkatkan pengunjung, penganjur tambah pengangkutan dalaman dan operasi berterusan hingga 6 September.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan, jumlah pengunjung dijangka terus meningkat susulan pelaksanaan sesi padanan perniagaan dan jualan berskala besar sehingga pameran berakhir.
Menurutnya, sebanyak 375,000 kenderaan turut direkodkan memasuki kawasan pameran, dengan pihak penganjur menambah pengangkutan dalaman bagi memudahkan pergerakan pengunjung antara lokasi.
“Kehadiran setakat ini amat memuaskan dan segala kesusahan atau ketidaksempurnaan itu memang kami akui ada. Kita cuba membantu sekadar yang boleh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sistem Pangkalan Data Nelayan (PADAN) dan Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Pemasaran Ikan Sabah ke Semenanjung sempena MAHA 2026, di sini hari ini.
Sistem Pangkalan Data Nelayan (PADAN) dilancarkan bagi menyepadukan maklumat nelayan, lesen, bot, peralatan, pendaratan hasil serta rekod bantuan dan subsidi dalam satu pangkalan data berpusat.
Mengulas isu caj sewaan buggy yang tular di media sosial, Datuk Seri Mohamad menjelaskan perkhidmatan berbayar tertentu disediakan khusus untuk kegunaan syarikat korporat dan bukan pengangkutan untuk pengunjung awam.
Bagi pengunjung awam, penganjur menyediakan tram, bas dan buggy secara percuma, selain menambah kenderaan bagi mengurangkan tempoh menunggu di lokasi tertentu.
MAHA 2026 berlangsung hingga 6 September di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), membabitkan kira-kira 2,000 pempamer serta sasaran kehadiran lebih 4 juta pengunjung sepanjang penganjuran.