fb fb fb fb fb

LRA Sungai Linggi kembali beroperasi sepenuhnya

Ketua Jabatan Perkhidmatan Pentadbiran Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) Azly Azahari

LINGGI, 6 Mei - Operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi kembali beroperasi sepenuhnya setelah ditutup sementara berikutan terdapat bau bahan bakar yang tinggi, semalam.

Menurut Ketua Jabatan Perkhidmatan Pentadbiran Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) Azly Azahari, pemberhentian operasi LRA Sungai Linggi telah memberikan kesan gangguan bekalan air kepada 37,000 pengguna di daerah Port Dickson dan sebahagian daerah, di sini.

"Kita telah mencapai bacaan 0 ton dimana pencemaran bau tidak ada lagi dan loji telah mula beroperasi semula secara beringkat dan hingga pukul 3.50 petang tadi loji telah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air mula disalurkan ke kawasan yang terjejas. Gangguan bekalan air pada kali ini telah melibatkan lebih kurang 37,000 akaun pengguna yang sebahagian besarnya kawasan port Dickson dan kecil di daerah Seremban," kata Azly Azahari kepada pemberita, di sini.

Tambahnya, SAINS telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu pengguna terjejas termasuk menyediakan 12 tangki statik di beberapa lokasi utama dikenal pasti.

Terdahulu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Aminuddin Harun dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan negeri komited dan tidak akan berkompomi ke atas mana-mana individu atau organisasi yang didapati melakukan kesalahan mencemarkan sumber air mentah di Negeri Sembilan.

Sabtu lalu sekitar pukul 7.30 malam, Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSANS) telah menerima aduan berkenaan pencemaran air seakan minyak yang memasuki Sungai Linggi di sekitar kawasan Jalan Pantai, Daerah Seremban.

Operasi bersama-sama di antara BKSANS dan Jabatan Alam Sekitar Negri Sembilan (JASNS) telah bermula sekitar pukul 9.00 malam di sepanjang laluan Jalan Pantai dan telah mengenal pasti satu premis bengkel lori yang disyaki suspek dalam kes pelepasan cecair minyak ini ke dalam Sungai Linggi.

TETITIA YUSOFF