KUALA LUMPUR, 8 Julai – Malaysia akan terus mengadakan libat urus dan dialog secara konstruktif dengan Amerika Syarikat (AS) bagi mencapai perjanjian perdagangan yang seimbang dan saling menguntungkan.
Ini meskipun negara terpaksa berdepan langkah AS yang mengenakan tarif balas sebanyak 25 peratus ke atas eksport Malaysia, berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya akan meneruskan perbincangan secara baik dengan rakan sejawat di AS bagi menjelaskan skop serta kesan langkah tarif tersebut, selain mencari jalan penyelesaian bagi memuktamadkan rundingan dua hala dalam tempoh terdekat.
“Usaha ini masih berjalan dan mencerminkan kesediaan Malaysia untuk mencapai keputusan yang adil dan mampan bagi kedua-dua pihak. Malaysia juga mengiktiraf peranan penting perdagangan terbuka dan adil dalam menyokong pertumbuhan ekonomi serta peluang pekerjaan,” jelas kenyataan sama.
AS merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan destinasi eksport utama, dengan jumlah dagangan tahun lalu meningkat hampir 30 peratus kepada RM324.9 bilion (USD71.4 bilion).
Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke AS berjumlah RM198.7 bilion (USD43.7 bilion), manakala import dari AS ialah RM126.3 bilion (USD27.7 bilion).
Menurut MITI, langkah unilateral seperti tarif baharu itu berpotensi menjejaskan kelancaran operasi perniagaan, rantaian bekalan global serta aliran pelaburan yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
“Malaysia yakin bahawa melalui dialog yang berterusan, kedua-dua negara dapat mencari penyelesaian yang dapat melindungi kepentingan bersama serta memastikan perdagangan dan pelaburan terus menjadi pemangkin pembangunan ekonomi mampan,” kata MITI.
Pada masa sama, kerajaan akan melindungi kepentingan syarikat tempatan, pekerja dan pengguna di Malaysia serta mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan kesan daripada pelaksanaan tarif baharu tersebut.
BERITA BERKAITAN