fb fb fb fb fb

MOSTI terus perkukuh pembangunan bakat dalam bidang teknologi baharu muncul

Chang Lih Kang

KUALA LUMPUR, 6 November - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terus memperkukuh pembangunan bakat dalam bidang teknologi baharu muncul (emerging technologies) termasuk kecerdasan buatan (AI) dan robotik agar diiktiraf setaraf profesion lain seperti kejuruteraan dan kedoktoran.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata, melalui Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT), usaha dilakukan bagi memberi pengiktirafan profesional di bawah Akta Teknologis dan Juruteknik 2015 (Akta 768) merangkumi bidang multi-disiplin dan rentas disiplin seperti robotik dan AI.

"Perkara-perkara yang dikongsikan ini membuktikan usaha signifikan yang dimainkan oleh MOSTI melalui MBOT dapat mengangkat martabat bakat-bakat berkemahiran tinggi supaya setanding dengan profesion profesional yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Julau Datuk Larry Sng Wei Shien berkenaan langkah serta usaha yang dilaksanakan bagi membolehkan bakat-bakat dalam bidang teknologi baharu muncul seperti AI dan robotik untuk diperkasakan supaya diiktiraf setaraf dengan golongan profesional lain.

Setakat Oktober 2025, Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) telah mendaftarkan seramai 107,423 teknologis dan juruteknik dalam 24 bidang teknologi, selain memperluaskan skop kepada teknologi baharu muncul yang merentas pelbagai sektor.

Pada masa sama, MBOT turut memberi akreditasi kepada program akademik dan kursus jangka pendek berkaitan AI serta teknologi termaju melalui Professional Development Certification (PDC) bagi memastikan kualiti pembelajaran sepanjang hayat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI