fb fb fb fb fb

Lawatan PM ke 3 negara capai banyak kejayaan

Sidang kemuncak BRICS beri ruang besar kepada Malaysia menyuarakan kepentingan multilateralisme dan perkukuh kerjasama selatan - Foto JPM

KUALA LUMPUR, 8 Julai - Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali, Perancis dan Brazil bukan sahaja berjaya memperkukuh kerjasama sedia ada, malah peluang meneroka lebih banyak potensi kerjasama dalam bidang baharu.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib@Khalid berkata, kejayaan itu didorong pendekatan diplomasi Perdana Menteri yang konsisten dan berani sepanjang lawatan ke tiga negara berkenaan.

0807 NSL REAX LAWATAN PM BERJAYA 2Profesor Dr Kartini Aboo Talib@Khalid - Foto UKM

“Dalam lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis baru-baru ini meningkatkan kerjasama dalam sektor tenaga, penerbangan dan pelaburan. Misalnya, kita perhatikan Malaysia Airlines dan AirAsia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) pembelian pesawat baharu. Manakala, syarikat Perancis juga menunjukkan minat untuk melabur dalam sektor teknologi dan mineral.

“Sementara di Itali, kita perhatikan hubungan ini akan meningkatkan dari segi transaksi ekonomi, pelaburan, dan paling penting budaya serta membuka peluang kerjasama dalam pendidikan dan teknologi.

“Manakala di Brazil, sidang kemuncak BRICS memberi ruang besar kepada Malaysia sebagai sebuah negara yang menyuarakan kepentingan multilateralisme dan memperkukuh kerjasama selatan,” katanya ketika dihubungi RTM.

0807 NSL REAX LAWATAN PM BERJAYA 6Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron - Foto JPM

Menyentuh mengenai pendirian tegas Kuala Lumpur-Paris berhubung isu kemanusiaan di Gaza, Dr Kartini berkata, Malaysia dilihat secara aktif memainkan peranannya untuk terus mewujudkan tekanan kolektif antarabangsa agar Israel segera menghentikan kekejaman ke atas rakyat Gaza.

“Pendekatan multilateralisme Datuk Seri Anwar juga menyeru kerjasama lebih kukuh antara ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) untuk menghentikan kekejaman Israel di Gaza.

"Malaysia juga dengan berani dan tegas mengecam penggunaan kuasa veto oleh Amerika Syarikat terhadap resolusi gencatan senjata di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan menegaskan perlunya tekanan kolektif antarabangsa.

“Diplomasi Malaysia yang konsisten dengan negara-negara luar ditunjukkan dengan baik di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Malaysia terus memperkasakan diplomasi awam," katanya.

0807 NSL REAX LAWATAN PM BERJAYA 7Datuk Seri Anwar bersama Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni - Foto JPM

Menurutnya, usaha diplomasi serantau ini telah diperluaskan dalam lawatan beliau ke Itali, Perancis dan Brazil.

Terdahulu Datuk Seri Anwar dalam wawancara bersama France 24 yang disiarkan di platform digital rangkaian itu semalam, menegaskan penyelesaian isu Gaza memerlukan rundingan pelbagai hala dan adil.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK