KULIM, 8 Julai- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah menganjurkan Kem Kesedaran Alam Sekitar (KEKAS) Peringkat Negeri Kedah sebagai inisiatif memperkukuh pendidikan alam sekitar dalam kalangan warga sekolah, sekali gus menyemai nilai cintakan alam sejak di bangku sekolah.
Program dua hari yang berlangsung di Bitara Campsite Lubok Jong Sedim, Kulim itu turut mendapat sokongan Pertubuhan Nur Salam Wilayah Utara dan Infineon Technologies (Kulim) Sdn Bhd, bersempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2025.
Seramai 56 murid bersama guru pengiring dari beberapa buah sekolah terpilih menyertai kem berkenaan yang menumpukan kepada aktiviti kesedaran dan pendidikan alam sekitar secara langsung di lapangan.
Menurut Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab, penganjuran KEKAS bertujuan membudayakan nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar, di samping mengeratkan jalinan kerjasama antara agensi kerajaan dan institusi pendidikan.
“KEKAS juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) JAS kepada sekolah-sekolah di negeri ini, serta platform yang berkesan untuk mendidik pelajar agar lebih peka terhadap isu-isu alam sekitar seperti penjagaan sungai dan biodiversiti.
“Ia juga selari dengan slogan JAS, ‘Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama’,” katanya dalam satu kenyataan media.
Pelbagai pengisian disusun sepanjang program termasuk taklimat mengenai pengurusan sisa buangan, ceramah alam sekitar, aktiviti berkumpulan serta aktiviti luar berkonsepkan gaya hidup lestari.
Antara aktiviti menarik ialah sesi pembuatan ‘EM Mudballs’ oleh pelajar dan guru yang dibimbing oleh tenaga pengajar berpengalaman, selain aktiviti riadah seperti tubing dan lawatan ke Air Terjun Riau yang terletak dalam kawasan Hutan Rekreasi Sungai Sedim.