fb fb fb fb fb

Pencalonan Anugerah Saintis Muda Negara 2025 kini dibuka

Pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah (dari kanan) Nurul Nuha Muhammad Ismi, Muna Aliah Mohammad Jaafar dan Nurul Basyirah Ahmad Lutfi menunjukkan 'Z-Filter" iaitu penapis minyak yang mereka cipta pada Ekspo Saintis Muda 2013/Arkib BERNAMA

PUTRAJAYA, 8 Julai - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), terus komited mengiktiraf sumbangan dan kecemerlangan saintis muda dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) menerusi penganjuran Anugerah Saintis Muda Negara (ASMN) 2025.

Menurut kenyataan MOSTI hari ini, pendaftaran pencalonan ASMN 2025 kini dibuka hingga 29 Ogos, sekali gus menjadi platform penting dalam menyerlahkan potensi dan kreativiti saintis muda tanah air.

Pencalonan terbuka kepada saintis warganegara Malaysia di bawah umur 40 tahun pada tahun pertandingan dan calon perlu menjalankan projek R&D di pusat penyelidikan dan institusi pengajian awam atau swasta di Malaysia.

“Pencalonan perlu relevan dan mempunyai sumbangan yang signifikan kepada pembangunan dan kemajuan industri, masyarakat atau negara. Calon juga perlu berketerampilan serta mempunyai daya kreativiti, inovasi dan kompetensi sebagai seorang penyelidik yang berkaliber,” menurut kenyataan itu.

Pada tahun ini, MOSTI memaklumkan pihaknya menyemak semula kriteria pencalonan anugerah supaya selaras dengan perubahan dan keperluan semasa serta menarik lebih ramai pencalonan daripada institusi penyelidikan atau syarikat swasta yang melaksanakan R&D dalam bidang STI.

Setiap kategori anugerah akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 seorang, plak, sijil dan geran dana penyelidikan MOSTI hingga RM1 juta tertakluk kepada terma dan syarat Jawatankuasa Dana MOSTI.

“Inisiatif penganjuran dan pengiktirafan Anugerah Saintis Muda Negara ini antara langkah strategik dalam mempersiapkan negara menghadapi cabaran masa hadapan. Anugerah ini memberi ruang untuk mengetengahkan hasil penyelidikan yang berpotensi tinggi dalam menyelesaikan isu dan keperluan kehidupan seharian rakyat,” menurut kenyataan itu.

ASMN yang diperkenalkan pada 1985 memainkan peranan penting dalam memastikan Malaysia terus melahirkan saintis muda yang berdaya cipta, berinovasi serta mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Anugerah ini satu manifestasi komitmen MOSTI dalam merealisasikan slogan ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi”. Inisiatif ini satu motivasi berterusan kepada saintis muda untuk terus mencipta, menyumbang dan memimpin perubahan teknologi negara,” menurut MOSTI.

Tahun lepas, sebanyak lima kategori baharu ASMN diperkenalkan dan sebanyak 45 pencalonan yang layak dinilai merangkumi dua dalam bidang fizik, masing-masing lapan bidang kimia, dan biologi, 10 bidang perubatan, dan 17 kejuruteraan.- BERNAMA

ASHRIQ FAHMY AHMAD