BANGKOK, 8 Julai -Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai, menyatakan hasrat untuk mendapatkan tawaran lebih baik berhubung tarif 36 peratus yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump terhadap negaranya.
Thailand sebelum ini dikenakan kadar tarif sama apabila Trump melancarkan pusingan pertama langkah tarif pada awal April. Bagaimanapun buat masa ini Bangkok hanya membayar kadar sebanyak 10 peratus sementara rundingan diteruskan menjelang tarikh akhir pada 9 Julai ini.
Pada Isnin, Trump menghantar surat rasmi kepada beberapa negara, memperbaharui tarif tinggi tetapi turut melanjutkan tempoh rundingan hingga 1 Ogos.
"Perkara paling penting ialah kita mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat," kata Phumtham kepada media, di sini.
Meskipun kadar tarif terhadap Thailand masih kekal, Amerika Syarikat telah mengurangkan kadar ancaman tertinggi terhadap beberapa rakan dagang lain.
Langkah tarif terbaru Washington ini dilihat sebagai sebahagian daripada pendekatan agresif perdagangan pentadbiran Trump, yang bertujuan menekan negara-negara untuk menyemak semula dasar import mereka ke pasaran AS.- AFP