CRANS-MONTANA, 2 Januari – Kira-kira 40 orang maut dan lebih 100 cedera selepas bar Le Constellation di resort ski mewah Crans-Montana meletup sebelum terbakar semasa orang ramai menyambut Tahun Baharu.
Komander Polis Wallis, Frederic Gisler memberitahu pemberita bahawa pihak berkuasa menganggarkan kira-kira 40 orang maut dan kira-kira 115 cedera, kebanyakannya parah.
Dalam pada itu, Presiden Switzerland, Guy Parmelin, menyifatkan kebakaran itu sebagai salah satu tragedi terburuk yang pernah dialami negara itu.
"Kejadian ini merupakan bencana yang belum pernah terjadi sebelum ini dan amat menakutkan", katanya.
Pada malam Khamis, kira-kira 400 orang berkumpul di sebuah gereja di Crans-Montana untuk upacara memperingati mangsa, sementara pihak Bern mengumumkan bendera akan dikibarkan separuh tiang selama lima hari.
Le Constellation merupakan salah satu destinasi ski popular di Crans-Montana, antara resort terkemuka di Eropah.-AFP
