ISTANBUL, 2 Januari - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Rabu mengecam tindakan Parlimen Israel meluluskan pindaan undang-undang untuk menghentikan operasi agensi PBB bagi pelarian Palestin (UNRWA), dengan menyatakan bahawa langkah itu bertujuan untuk terus melemahkan keupayaan agensi berkenaan menjalankan operasinya.
“Pindaan ini bertujuan untuk terus menghalang keupayaan UNRWA menjalankan operasinya dan melaksanakan mandat yang diberikan kepadanya.
“Undang-undang ini serta pindaan berkaitan adalah tidak selaras dengan status dan rangka kerja undang-undang antarabangsa yang terpakai kepada UNRWA dan mesti dimansuhkan dengan segera,” kata Guterres dalam satu kenyataan, menurut jurucakapnya Stephane Dujarric, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Guterres berkata UNRWA beroperasi sebagai komponen penting Pertubuhan Bangsa Bersatu dan dilindungi sepenuhnya di bawah Konvensyen mengenai Keistimewaan dan Kekebalan PBB, yang merangkumi aset, harta benda, pegawai serta kakitangannya.
“Harta yang digunakan oleh UNRWA adalah tidak boleh diganggu gugat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kewajipan Israel di bawah Piagam PBB serta Konvensyen mengenai Keistimewaan dan Kekebalan PBB.
Dalam Pendapat Nasihatnya pada 22 Okt, Mahkamah Keadilan Antarabangsa menegaskan kewajipan Israel untuk sepenuhnya menghormati keistimewaan dan kekebalan PBB di Wilayah Palestin yang Diduduki, termasuk UNRWA dan kakitangannya, katanya.
Guterres turut menegaskan semula “sokongan kuat” beliau terhadap UNRWA, sambil menekankan “peranan penting” agensi itu dalam membantu rakyat Palestin di Gaza dan seluruh rantau berkenaan.
“Operasi berterusan UNRWA di Gaza menyumbang kepada pelaksanaan berkesan Resolusi Majlis Keselamatan 2803 (2025) serta Pelan Komprehensif untuk Menamatkan Konflik Gaza di lapangan,” katanya.
Parlimen Israel sebelum ini pada Isnin meluluskan rang undang-undang untuk memutuskan bekalan elektrik dan air ke pejabat UNRWA, dengan langkah itu berkuat kuasa serta-merta.- BERNAMA-ANADOLU
