WASHINGTON, 8 Julai – Amerika Syarikat (AS) akan mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas semua import dari Jepun dan Korea Selatan bermula 1 Ogos ini, menurut pengumuman White House pada Isnin.
Langkah itu didedahkan oleh Presiden AS, Donald Trump melalui surat rasmi kepada pemimpin kedua-dua negara, sebagai sebahagian daripada usaha menekan rakan dagang untuk memeterai perjanjian baharu.
Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt turut memaklumkan bahawa 12 negara lagi akan menerima surat yang sama dalam masa terdekat.
Trump juga telah menandatangani perintah eksekutif yang menangguhkan tarikh akhir asal rundingan tarif dari 9 Julai kepada 1 Ogos, bagi memberi ruang kepada negara-negara terlibat mencapai kesepakatan.
Dalam surat tersebut, Trump memberi amaran bahawa sebarang tindakan balas dalam bentuk tarif akan menyebabkan caj tambahan dikenakan, melebihi kadar asas 25 peratus yang diumumkan.
Pentadbiran AS turut mengumumkan tarif akan dikenakan terhadap Malaysia, Kazakhstan, Afrika Selatan, Laos dan Myanmar, dengan kadar mencecah sehingga 40 peratus.
Reaksi pasaran AS turut terkesan, apabila indeks S&P 500 susut hampir satu peratus, manakala saham syarikat automotif Jepun mengalami kejatuhan.
Rundingan antara AS dan negara-negara yang terlibat masih berlangsung, dengan beberapa negara berusaha mencapai perjanjian saat akhir bagi mengelak dikenakan tarif baharu. -REUTERS