GAZA, 8 Julai – Sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin terbunuh pada Isnin dalam serangan terbaharu oleh tentera Israel, termasuk enam orang yang maut ketika berlindung di sebuah klinik di kejiranan Al-Rimal, demikian menurut Agensi Pertahanan Awam Gaza.
Jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal, memaklumkan kepada AFP bahawa serangan udara Israel mengenai Klinik Al-Rimal, yang ketika itu menempatkan ratusan penduduk yang hilang tempat tinggal akibat perang yang telah berlarutan selama hampir 21 bulan.
“Enam orang terbunuh dan 15 lagi cedera dalam serangan itu,” katanya sambil menambah bahawa klinik berkenaan terletak di kawasan barat bandar Gaza.
Rakaman yang diperoleh AFP menunjukkan keadaan bangunan yang musnah teruk dengan tilam, serpihan kayu, logam dan konkrit berselerakan, manakala kanak-kanak serta orang dewasa dilihat sedang mencari barangan yang masih boleh diselamatkan.
Seorang saksi kejadian, Salman Qudum berkata, mereka tidak menjangka serangan itu.
“Kami dikejutkan dengan letupan dan tembakan peluru berpandu di dalam bangunan. Debu dan kehancuran menyebabkan kami tidak tahu ke mana hendak lari,” ujarnya.
Sementara itu, di selatan Gaza, dua lagi penduduk dilaporkan terbunuh manakala 20 orang cedera akibat tembakan tentera Israel ketika sedang menunggu bantuan berhampiran sebuah pusat agihan milik Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) di barat laut Rafah.
Israel kini giat memperluas operasi ketenteraannya di Semenanjung Gaza, yang kini sedang berdepan krisis kemanusiaan yang teruk dengan lebih dua juta penduduk terjejas. - AFP