fb fb fb fb fb

Letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki jejas penglihatan penduduk setempat

Gunung Lewotobi Laki-Laki di Flores Timur, Indonesia meletus kuat dengan memuntahkan abu tebal sehingga 18 kilometer ke udara/ Foto AFP

JAKARTA, 8 Julai – Penduduk di sekitar Gunung Lewotobi Laki-laki di daerah Flores Timur, Indonesia mengimbas detik cemas ketika gunung berapi itu meletus pada Isnin, di mana ia memuntahkan abu tebal setinggi 18 kilometer ke udara sehingga menjejaskan jarak penglihatan di kawasan berhampiran.

Seorang penduduk tempatan, Gervasius Vence, 51 tahun, berkata letusan itu berlaku secara tiba-tiba dan menyebabkan suasana kelam-kabut.

“Terdapat gegaran, abu berterbangan, dan penglihatan menjadi sangat terhad dan hampir gelap. Saya hanya dapat melihat sejauh kira-kira 10 meter sahaja dan jiran saya juga tidak kelihatan. Ketika itu juga angin sangat kencang,” katanya kepada media.

Menurut kenyataan rasmi daripada Agensi Vulkanologi Indonesia, tahap amaran Gunung Lewotobi Laki-laki kekal pada peringkat tertinggi pada hari kejadian.

Pihak berkuasa turut mengingatkan pelancong dan penduduk agar tidak menghampiri zon sejauh enam kilometer dari kawah gunung dan menjauhi laluan aliran lava yang dijangka berlaku.

Gunung Lewotobi Laki-laki merupakan sebahagian daripada lebih 120 gunung berapi yang aktif di Indonesia, negara yang terletak di atas Lingkaran Api Pasifik dan sering dilanda aktiviti gempa bumi dan letusan gunung berapi akibat pertembungan beberapa plat tektonik utama dunia. - REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN