fb fb fb fb fb

Houthi dakwa tenggelamkan kapal dagang di Laut Merah

Gambar fail AFP: Serangan bot kecil dilaporkan berlaku di barat daya pelabuhan Hodeidah, Yaman, menurut UKMTO

SANAA, 7 Julai - Kumpulan Houthi di Yaman mendakwa telah menenggelamkan kapal dagang Magic Seas dalam serangan terbaharu di Laut Merah.

Kapal berdaftar Liberia itu diserang kerana didakwa melanggar larangan memasuki pelabuhan di wilayah Palestin.

Serangan melibatkan peluru berpandu dan bot dron bersenjata menyebabkan kebakaran serta kebocoran air ke dalam kapal.

Sekali gus memaksa kru menyelamatkan diri sebelum kapal tenggelam sepenuhnya.

"Operasi kami akan diteruskan dengan menyasarkan kawasan di dalam negara haram Israel di Palestin, mengganggu laluan perkapalan Israel di Laut Merah dan Laut Arab, serta melumpuhkan pelabuhan Umm Al-Rashrash (Eilat), sehingga pencerobohan ke atas Gaza dihentikan dan sekatan terhadap wilayah itu ditarik balik," menurut jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea.

Sementara itu, tentera Israel melaporkan telah menyerang tiga pelabuhan utama di wilayah Houthi iaitu Hodeidah, Ras Isa dan as-Salif selain loji janakuasa Ras Kathib dan sistem radar pada kapal Galaxy Leader.

Serangan itu dikatakan sebagai tindak balas terhadap peluru berpandu yang dilancarkan dari Yaman ke arah wilayah Israel awal pagi semalam.

Kumpulan Houthi sebelum ini menyatakan tindakan mereka sebagai solidariti kepada rakyat Palestin yang terus menjadi mangsa serangan di Gaza.

Setakat ini, tiada laporan kemalangan jiwa.

GRACE AISYAH KEDAYAN