fb fb fb fb fb

Lelaki maut, tiga cedera nahas lori bawa muatan lembu

Pasukan bomba sedang menyelamatkan seorang lelaki berusia 29 tahun tersepit di bahagian penumpang hadapan kereta/Foto BOMBA

LENGGONG, 21 Mac – Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera ringan dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan sebuah lori membawa muatan lembu di Jalan Selat Pagar, di sini, lewat malam tadi.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.49 tengah malam.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati seorang lelaki berusia 29 tahun tersepit di bahagian penumpang hadapan kereta dan anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Nahas turut mengakibatkan seorang wanita dipercayai pemandu kereta berusia lingkungan 30-an, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun serta pemandu lori mengalami kecederaan ringan.

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 2.40 pagi.

GRACE AISYAH KEDAYAN