fb fb fb fb fb

Lelaki maut terjun dari tingkat 12 pangsapuri selepas tikam isteri

GEORGE TOWN, 4 Februari - Seorang lelaki yang disyaki menikam isterinya dengan pisau, maut setelah terjun dari tingkat 12 sebuh pangsapuri di Pulau Pinang.

Mayatnya ditemukan orang ramai di tingkat bawah Pangsapuri Paya Terubong dekat Air Itam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden V. Saravanan berkata pihak polis menerima laporan daripada ibu mangsa yang memaklumkan pintu rumah anak perempuannya berkunci dari dalam.

Cubaan menghubungi wanita berusia 46 tahun itu menerusi telefon juga gagal.

Susulan itu, polis bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati mangsa di atas katil dalam keadaan berlumuran darah.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 2 kesan tikaman di leher dan paha mangsa.

"Kita menemukan mayat lelaki berusia 54 tahun dalam keadaan terbaring dan mayatnya dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

"Punca bunuh ini kita syakilah ada perselisihan faham pergaduhan antara isteri dengan suami dan suami dah terjun daripada bangunan. Kemungkinan suami dia tikam dia lepas tu terus terjun dari bangunan," kata Superintenden V. Saravanan di sini.

Mangsa dan suspek merupakan pekerja kilang di Bayan Lepas.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.



Media Baharu