fb fb fb fb fb

Lebih RM99 juta diperuntukkan bagi projek baik pulih Sungai Skudai

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat /Foto RTM

JOHOR BAHARU, 22 Januari-Sebanyak RM99.8 juta peruntukan diluluskan Kerajaan Persekutuan pada Disember tahun lalu, untuk melaksana projek baik pulih Sungai Skudai di sini.

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, projek berkenaan akan bermula pada tahun hadapan, melibatkan pembersihan selut dan kerja-kerja mendalamkan sungai.

Setakat ini ia masih dalam peringkat kajian dan dijangka memberi manfaat kepada golongan nelayan di kawasan tersebut.

"Sekarang sungai Skudai ini, dia cetek dan juga sempit sebab terdapat banyak pembangunan maka selut-selut mnyebabkan sungai berkenaan menjadi mendap dan menjadikannya lebih sempit.

"Jadi tugasnya adalah untuk mengeluarkan kembali selut-selut yang ada dan secara tak langsung ia membantu Polis Marin yang ada di Sungai Skudai ini serta jetinya akan kembali pulih, dapat melaksanakan aktiviti seperti biasa", katanya demikian kepada pemberita  selepas merasmikan Majlis Bantuan kepada Nelayan Zon A Johor di Dewan Hassan Abdullah, Kampung Pasir, di sini.

Dalam pada itu, seramai 107 nelayan menerima bantuan barangan seperti lampu keselamatan dan jaring, dalam majlis tersebut.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD