
KUALA LUMPUR, 20 Julai – Sebanyak 8,014 pertuduhan berkaitan jenayah penipuan dalam talian direkodkan setakat Mei tahun ini, mengatasi keseluruhan 6,140 pertuduhan yang dicatatkan sepanjang tahun lalu.
- Peningkatan jenayah penipuan dalam talian menguatkan keperluan RUU Jenayah Siber 2026 bagi menutup kelompangan dan memperkukuh pencegahan, pengesanan serta penguatkuasaan.
- RUU Jenayah Siber 2026 mengandungi lapan bahagian dan 61 fasal serta bertujuan memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997.
- Tindakan PDRM berterusan berjaya menahan 10,245 individu setakat Mei dan menunjukkan peningkatan tangkapan sejak 2022.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, peningkatan jumlah pertuduhan itu membuktikan ancaman jenayah penipuan dalam talian semakin serius bukan sahaja dari segi bilangan kes, malah kerugian kewangan yang ditanggung mangsa.
Peningkatan itu mendorong kerajaan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 bagi memperkukuh kerangka perundangan negara dalam menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks.
“RUU ini digubal bagi menutup kelompangan dalam perundangan sedia ada, memperkukuh aspek pencegahan, pengesanan dan penguatkuasaan jenayah siber, serta memastikan sistem perundangan negara kekal relevan dalam mendepani ancaman dan cabaran siber yang sentiasa berkembang.
“Pada masa yang sama, penggubalannya mencerminkan komitmen kerajaan untuk melindungi keselamatan negara, menjaga kepentingan awam serta memelihara kesejahteraan rakyat.
“RUU ini juga diyakini mampu meningkatkan keyakinan rakyat dan komuniti perniagaan terhadap keselamatan ekosistem digital negara, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi digital serta memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global,” katanya ketika membentangkan RUU Jenayah Siber 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini.
Menurut beliau, seramai 10,245 individu ditahan setakat Mei tahun ini dengan tangkapan tertinggi melibatkan jenayah penipuan telekomunikasi, e-dagang, pelaburan dan pinjaman tidak wujud.
Menurut beliau, jumlah tangkapan turut meningkat daripada 16,244 orang pada 2022 kepada 23,753 orang pada 2025, sekali gus mencerminkan tindakan berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah penipuan dalam talian.
RUU Jenayah Siber 2026 yang mengandungi lapan bahagian dan 61 fasal itu telah diluluskan Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu.
RUU berkenaan digubal bagi memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 di samping memperkukuh kerangka perundangan negara dalam menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks serta seiring dengan perkembangan teknologi semasa.