
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Lebih 7,100 lot premis perniagaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di seluruh negara akan mula menikmati potongan kadar sewaan sebanyak 20 peratus bemula 1 Jun ini bagi membantu usahawan mengurangkan kos operasi dalam mendepani krisis ekonomi semasa.
- Inisiatif dilaksanakan susulan saranan Perdana Menteri agar agensi kerajaan menurunkan kadar sewa bagi meringankan beban peniaga.
- Potongan diberikan secara menyeluruh tanpa mengira kadar sewaan semasa.
- Potongan diberi pada peringkat awal selama enam bulan dan akan dinilai semula sebelum sebarang keputusan lanjut.
Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman berkata, inisiatif itu dilaksanakan susulan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar agensi kerajaan seperti MARA dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) menurunkan kadar sewa premis perniagaan bagi meringankan beban peniaga.
Beliau berkata, potongan kadar sewa itu diberikan secara menyeluruh tanpa mengira kadar sewaan semasa.
“Walaupun kadar sewa itu, ada yang RM300, ada yang RM4,000, ada yang RM3,000. Jadi semuanya kita bagi 20 peratus penurunan kadar sewa itu.
“Sebab dah masuk bulan Mei sewaktu pengumuman itu dibuat, Mei ada dah yang dah bayar dan sebagainya. Jadi, kita mula pada 1 Jun,” katanya selepas menghadiri Program Biz Malaysia, hari ini.
Beliau berkata, pada peringkat awal ini, potongan kadar sewa itu akan diberikan selama enam bulan dan bakal dinilai semula berdasarkan keadaan ekonomi sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat sama ada untuk meneruskan, menghentikan atau menambah lagi kadar diskaun tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata MARA turut menawarkan penstrukturan semula dan penjadualan semula bayaran balik kepada usahawan yang mempunyai pinjaman perniagaan serta penyewa yang berdepan tunggakan sewa.
Katanya, usahawan terlibat boleh hadir berbincang dengan MARA bagi menyusun semula jadual pembayaran mengikut kemampuan kewangan masing-masing.