
MEKAH, 11 Mei – Seramai 22,711 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Tanah Suci setakat ini.
- Kesemua jemaah kini berada di Mekah selepas rombongan Muassasah terakhir KT033 tiba di Hotel Al Tayseer Sabtu lalu.
- Jemaah sedang membuat persiapan menantikan Hari Wuquf yang dijangka pada 26 Mei sebagai kemuncak ibadah haji.
- Persiapan di kawasan Masya'ir hampir lengkap dan Tabung Haji akan melawat tapak perkhemahan untuk penyelarasan akhir.
- Operasi haji bermula 18 April, dengan 31,600 jemaah berlepas menerusi 100 penerbangan sewa khas oleh AMAL dan Saudia.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata, ia membabitkan 74 penerbangan yang mendarat di Lapangan Terbang Madinah dan Jeddah, dengan satu lagi penerbangan dijadual tiba di Jeddah malam ini.
Beliau berkata, semua jemaah haji Malaysia kini berada di Mekah selepas rombongan jemaah Muassasah terakhir dari Madinah menerusi penerbangan KT033 tiba di Hotel Al Tayseer, Mekah pada Sabtu lalu.
“Kesemua jemaah kini sedang membuat persiapan bagi menantikan kemuncak ibadah haji iaitu Hari Wuquf yang dijangka pada 26 Mei ini,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, persiapan di kawasan Masya’ir juga hampir lengkap dan pihak pengurusan Tabung Haji (TH) akan mengadakan lawatan ke tapak perkhemahan dalam masa terdekat bagi menyelaras persediaan akhir menjelang Hari Wuquf.
Operasi haji musim 1447H/2026M bermula secara rasmi pada 18 April, dengan 31,600 jemaah haji Malaysia berlepas secara berperingkat ke Madinah dan Mekah menerusi 100 penerbangan sewa khas oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.