
JOHOR BAHRU, 11 Mei – Seramai 60,000 pelajar Tingkatan Empat dan Lima daripada kategori B40 di seluruh negara bakal menerima lesen motosikal Kelas B2 secara percuma menerusi Program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) dengan peruntukan sebanyak RM18.5 juta.
- Program MyB2S dilaksanakan oleh JPJ dan KPM untuk memperkukuh keselamatan jalan raya serta meningkatkan pematuhan undang-undang dalam kalangan pelajar.
- KPM menjalankan saringan berasaskan data untuk menilai pelajar yang memerlukan; senarai disalurkan kepada JPJ negeri untuk pelaksanaan program.
- Program melengkapkan inisiatif MyLesen B2 sejak 2023, dengan 30,000 peserta dijangka menerima manfaat tahun ini di bawah peruntukan RM10.5 juta.
Johor mencatatkan jumlah penerima tertinggi apabila seramai 8,200 pelajar di negeri itu akan menerima manfaat program berkenaan, melibatkan peruntukan RM2.46 juta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, program berkenaan merupakan inisiatif strategik kerajaan yang dilaksanakan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memperkukuh budaya keselamatan jalan raya serta meningkatkan pematuhan undang-undang dalam kalangan pelajar sekolah.
Menurut beliau, pelaksanaan program ini turut mengambil kira isu pelajar sekolah, khususnya di kawasan luar bandar, yang menunggang motosikal tanpa memiliki Lesen Memandu Malaysia (LLM) yang sah.
“Data pelajar akan dikenal pasti oleh KPM selepas proses saringan bagi menentukan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan ini.
“Senarai tersebut kemudian akan disalurkan kepada JPJ negeri untuk pelaksanaan program,” katanya ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Program MyLesen B2 Sekolah MyB2S di Austin International Convention Centre (AICC), Mount Austin, di sini.
Tambah beliau, pendekatan berasaskan data itu penting bagi memastikan bantuan disalurkan secara tepat dan berkesan mengikut keperluan sebenar pelajar di setiap negeri.
Program MyB2S ini turut melengkapi Program MyLesen B2 sedia ada yang diperkenalkan sejak 2023, yang memberi peluang kepada golongan B40 memperoleh lesen memandu motosikal secara sah.
Bagi tahun ini, seramai 30,000 peserta dijangka menerima manfaat dengan peruntukan RM10.5 juta di bawah program berkenaan.